Wednesday, March 18, 2015

Padanan Cat Untuk Rumah

       Artikel ini ditulis bagi membantu warga maya memilih warna yang sesuai bagi mengecat kawasan luar rumah. Step pertama tentunya adalah memilih warna cat itu sendiri, ramai yang meminta pandangan dari kawan rapat, ibubapa dan juga jiran-jiran. Sebagai panduan juga, bukan semua warna sesuai untuk rumah anda. Cara yang paling mudah tanpa meminta bantuan daripada orang lain adalah dengan melihat warna cat rumah jiran-jiran di kawasan setempat rumah anda, itu cara yang paling mudah, pilih 3 atau 4 buah rumah yang paling menonjol dan buat keputusan akhir dengan berbincang dengan pasangan anda.

            Apapun sebelum membuat keputusan akhir antara perkara yang perlu dibuat adalah memilih warna sejuk atau warna panas, bagi kawasan luar rumah, jenis warna ini tidak lah memberi kesan besar, namun bagi ruang dalaman rumah perkara ini perlu diambil berat kerana ia memberi kesan terhadap psikologi, yelah balik-balik rumah rasa panas je, walaupun dari segi suhu sebenar sama je sebenarnya. Bagi yang tidak memahami warna panas dan sejuk boleh merujuk gambar di bawah.
Warna Panas dan Warna Sejuk

          Sesuai dengan peredaran zaman, sekitar akhir 90an sehingga sekarang, masyarakat lebih berminat menggabungkan 2 hingga 5 warna bagi menampakkan rekabentuk rumah lebih menyerlah. Berikut adalah merupakan tips yang tuan, puan boleh pertimbangkan dalam memilih warna yang mungkin boleh menyerlahkan lagi ruang hadapan rumah dan boleh menarik lebih ramai kehadiran saudara mara dan sahabat handai ke rumah tuan, puan.

  1. Pemilihan tone warna yang sesuai, contohnya jika anda berminat dengan warna hijau sahaja, dan tidak berminat dengan warna lain, anda boleh memilih warna 2 atau 3 tone warna hijau sahaja. Gabungan warna ini dikenali sebagai gabungan warna sewarna iaitu gubahan yang menggunakan satu warna dalam beberapa ton.
  2. Seterusnya bagi yang meminati warna yang berbeza namun tidak terlalu kontra boleh memilih warna harmoni atau lebih dikenali warna sekeluarga. Warna ini ialah sekumpulan warna yang terletak bersebelahan diantara satu sama lain didalam roda warna. Ia mempunyai hubungan warna, tone, dan ┼čuhu yang sama. Rujuk gambar dibawah.

Warna Harmoni
   3.  Jika anda berminat dengan warna kontra, anda boleh memilih warna bertentangan atau warna penggenap. Ia adalah sekumpulan warna yang bertentangan dalam roda warna. Pemilihan warna jenis ini boleh membuatkan rumah anda nampak lebih kontra sebagai contohnya, bahagian hadapan rumah warna kuning manakala tembok anda berwarna unggu. Pemilihan warna jenis ini menunjukkan anda seorang yang berani.

Warna Penggenap
4. Seterusnya sebagai panduan pemilihan warna adalah pemilihan warna sejuk atau warna panas. Warna panas boleh menyerlahkan rumah anda lebih garang dan lebih terang serta kesan cahaya yang tinggi. Warna sejuk pula mebuatkan rumah anda lebih tenang dan tenteram serta kesan cahaya yang rendah yang menyejukkan mata memandang.
Warna Sejuk & Panas

Warna Panas

Warna Sejuk
5. Dan yang terakhir sekali adalah warna bertindak, warna jenis ini akan menimbulkan kesan pantulan warna yang berbeza apabila bertemu warna latar yang berbeza. Anda boleh rujuk gambar dibawah untuk lebih pemahaman. 
Warna Bertindak

       Begitulah serba sedikit tips yang dapat saya kongsikan dalam pemilihan warna untuk mengecat rumah idaman anda, semoga ia dapat membantu serba sedikit dalam pemilihan warna rumah idaman anda nanti. Sekian, Terima Kasih.