Sunday, February 1, 2009

Malam penuh gemilang Kijang


INDRA PUTRA menjaringkan gol keempat Kelantan malam tadi.


GELORA Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di Kota Bharu memaksa si Jengking berputih mata apabila tewas 0-4 kepada Kelantan pada perlawanan pusingan pertama Piala FA malam tadi.

Kelantan yang mendapat sokongan lebih 10,000 penyokong memulakan malam cemerlang dengan jaringan pembukaan oleh Nor Farhan Mohamad pada minit kelapan.

Bekas pemain kebangsaan itu berjaya meloloskan diri selepas menerima hantaran daripada Badri Radzi.

Kelantan yang nyata menguasai permainan meneruskan asakan dan gol kedua hadir pada minit ke-31 apabila Khalid Jamlus mudah menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Johor, Nor Azlan Razali hasil rembatan Indra Putra Mahayuddin.

Pada separuh masa kedua Johor nampak garang tetapi tetap gagal menemui penyudah.

Begitupun, Kelantan yang terus berpesta menerusi jaringan Khalid sebelum Indra Putra melengkapkan malam gemilang itu dengan gol keempat menerusi sepakan penalti sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu dilihat agak selesa sebelum menghadapi perlawanan kedua di gelanggang lawan Rabu depan.

Pada perlawanan lain Proton FC tewas 1-2 kepada UPB_MyTeam sementara PDRM pula tewas 1-2 kepada Felda United.

T-Team pula mencatat kemenangan 1-0 ke atas Shahzan Muda sementara Sarawak membelasah ATM 6-1.

Pulau Pinang menghampakan Johor FC hasil kemenangan 1-0, Negeri Sembilan seri tanpa jaringan dengan Melaka sementara Pahang pula seri 1-1 dengan PKNS Selangor.

Perlis menghampakan Johor MBJB 4-0, Perak membenam SDM Kepala Batas 4-1 di Ipoh sementara Kuala Lumpur seri 1-1 dengan Sabah.

Edited By Mr Juki & Mr Pariey

No comments: